Sesungguhnya fikiran kita adalah sumber segala benda. Fikiran itu merupakan tenaga terbesar untuk menghasilkan sesuatu apabila disertai dengan sasaran yang tepat, ketabahan dan hasrat yang menyala-nyala untuk memperolehi kekayaan.
Beberapa tahun yang lalu Edwin D.Barnes menyedari satu kenyataan bahawa orang yang menggunakan fikirannya itu pasti boleh menjadi kaya. Kesedaran ini ditemui oleh Barnes tidak sekaligus, melainkan tahap demi tahap. Beliau bermula hanya dengan satu keinginan untuk bekerjasama dalam suatu usaha perniagaan bersama dengan pencipta yang ulung, yakni Thomas Alva Edison.
Salah satu ciri keinginan dalam diri Barnes ialah hasratnya itu bercorak tegas. Beliau ingin bekerjasama dengan Edison dan bukannya untuk Edison. Marilah kita perhatikan baik-baik bagaimana Barnes mengubah hasratnya itu menjadi satu kenyataan. Kemudian Anda dapat memperolehi satu kefahaman yang jelas tentang prinsip-prinsip cara bagaimana menjadi kaya itu.
Tatkala keinginan itu mula-mula timbul dalam diri Barnes, maka beliau berada dalam keadaan yang sulit. Terdapat dua hal yang menghantuinya. Beliau tidak kenal dengan Edison dan beliau tidak mempunyai wang untuk pembiayaan perjalanan ke Orange, New Jersey, untuk menemui Edison.
Kesulitan seperti inilah yang sering membuatkan orang berputus asa untuk melakukan usaha demi memenuhi keinginannya itu. Akan tetapi keinginan Barnes memang luar biasa!
0 Reviews:
Post a Comment